Tahun lepas Puak Pelampau mencadangkan Bukit Hantu menjadi urus setia Kayuhan Jerangkang. Kami bersetuju.
Mula-mula aku cari insan yang biasa berbasikal ke Jerangkang. Aku temui Tok Sham di FB dengan beberapa foto kayuhan Jerangkang. Kami berkenalan dan Tok Sham bersetuju dengan syarat peranannya bukan sebagai malim jalur tetapi rakan kayuhan.
Kemudian kami membuat kira-kira. Setelah mengira kos, kami pun mula mengutip yuran. Yuran meliputi kos kru pandu arah, permit, powil dan parkir.
Awalnya kami rancang untuk 21 pengayuh sahaja, tetapi ramai yang mahu ikut. Setelah mendapat tip berguna daripada Tok Sham, kami pun mohon permit masuk hutan daripada Jabatan Perhutanan Pahang untuk 30 pengayuh.
Tok Sham ada turun ke JB untuk urusan keluarga. Kesempatan itu kami gunakan untuk bersemuka dan berbincang. Kami rancang perjalanan 15 km pergi dan 10 km pulang dalam bulan November 2024.
Sementara menunggu hari bahagia, beberapa kali Tok Sham dan kru membuat tinjauan denai. Satu hari, kemalangan berlaku ketika menuruni bukit, apabila seorang kru patah tangan. Begitulah disiplin dan komitmen Tok Sham serta krunya. Teliti dalam perancangan. Bak kata pepatah tukang kayu: “Ukur dua kali, potong sekali.” Keyakinan kami terhadap perjalanan semakin menebal.
Hari yang ditunggu hampir tiba. Tetapi tengkujuh datang awal. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan.
Seminggu sebelum kayuhan, Jabatan Perhutanan Pahang mengumumkan hutan ditutup sehingga diberitahu kelak. Kami menghubungi pihak powil dan homestay memaklumkan kayuhan ditangguhkan.
Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Musim berganti musim.
Setelah musim monsun reda, kami menetapkan tarikh baharu perjalanan ke Mei 2025. Bila tarikh berubah, kekuatan kumpulan juga berubah kerana bertembungan acara peribadi. Kami buat percaturan dan kumpul semula kekuatan. Kekuatan final kami 29 pengayuh. Seorang tarik diri saat akhir kerana menjaga ibunya yang uzur.
Walaupun badai monsun sudah berlalu? Kesannya masih ada. Laluan pelan A sejauh 15 km terkambus lumpur dalam. Maka kami buat pelan B, pergi dan pulang melalui laluan 10 km yang sama bermula dari Kampung Paya Bungor.
Masa yang dinanti pun tiba.
Puak Pelampau memandu lewat malam dan sampai di kampung awal pagi, menumpang di masjid. Bukit Hantu pula bertolak lebih awal dan bersanggah di homestay di Gambang. Tidur yang cukup penting bagi aku.
Kami berkumpul jam 8 pagi di garis mula Kampung Gelugor.
Barang berat semua dimasukkan ke dalam powil dan kami berkayuh separuh “togel”, melainkan beberapa orang yang masih setia dengan maruah bikepacking mereka. Pantang mereka menumpang “lori ayam”, hatta untuk pekakas sekali pun. Semua barang mesti dibawa atas basikal.
Roda basikal pun bergolek diiringi 3 motor kru dan 1 powil sarat di belakang.
Di kilometer ke-2, kami berhenti membeli bekal di gerai RnR Gambang dan meneruskan perjalanan.
Jalur Kampung Gelugor–Jerangkang secara amnya santai. Ada beberapa tompok lumpur kerana hujan hari sebelumnya. Namun, kami cukup latihan di Jalur Sumalayang yang lumpurnya 50 kali ganda lebih teruk.
Antara tarikan jalur ini ialah sungai yang mengalir selari dengan jalan darat, hutan pokok buluh dan padang rumput savana.
Aku kayuh perlahan di peloton belakang kerana mahu menikmati hutan.
Kelihatan Lokman berhenti membetulkan rantai basikal sementara kawan-kawan lain mara ke hadapan. Jadi, Lokman pun berada bersama peloton belakang.
Dalam peloton belakang juga ada Radzi dan isterinya. Radzi sabar mengajar isterinya cara menukar gear basikal. Mungkin ini kayuhan lasaknya yang pertama. Aku hanya perhatikan kerenah pasangan itu. Detik-detik begini kelihatan menguji hubungan, tetapi aku percaya kelak ia akan dikenang sebagai peristiwa manis.
Bunyi-bunyi mergastua sepanjang jalan amat menghiburkan.
Isteri Lokman yang kami gelar Akak Tak Serik — rentetan usaha gigihnya menamatkan kayuhan Jaang — tidak kelihatan. Rupa-rupanya dia berada paling depan, macam hendak kejar podium. Tahu-tahu, dia sampai duluan. Rupanya dia tidak sedar Lokman berhenti membetulkan rantai. Disangkanya Lokman sudah ke hadapan meninggalkan dia. Sekarang kami tabalkan gelaran Akak Dah Gian kepadanya.
Aku selalu kata, setiap kali berbasikal, orang seakan kembali ke zaman kanak-kanak. Akak Dah Gian adalah contoh yang baik. Semasa kayuhan di Jaang, ku sangka umurnya 40-an, macam makcik-makcik. Di kayuhan Jerangkang semakin muda, kelihatan 20-an. Kanak-kanak riang sungguh keletahnya.
Walaupun denai lembab, cuaca hari itu cerah.
Aku tertunggu-tunggu bukit mencanak, namun tidak kelihatan. Tiba-tiba, kami sudah sampai di papan tanda “Selamat Datang ke Hutan Lipur Jerangkang.” Tidak pecah peluh pun. Air dalam botol pun tak luak. Meter menunjukkan jarak perjalanan 10km sahaja.
Ramai peminat hitan lain sudah sampai duluan dengan powil. Mereka sibuk mendirikan khemah.
Oleh sebab Kem 1 penuh dengan khemah pendaki, kami tolak basikal sejauh 800 meter mendaki denai ke Kem 2. Kami mula membersihkan kawasan dan membangunkan khemah.
Secara amnya, kami set khemah kepada tiga kelompok — Puak Pelampau, Bukit Hantu dan Geng Pasir Gudang. Anak-anak angkat kami dari KL dan Singapura kami selit dalam kelompok besar.
Cabaran paling besar untuk petualangan kali ini ialah memikul peralatan dari dalam powil ke Kem 2. Mentang-mentang ada powil, kami angkut barang macam-macam. Padan muka kami.
Cabaran kedua ialah tandas. Tandas awam ada di Kem 1 yang agak jauh. Dan lagi, keadaannya agak daif. Alang-alang daif, ramai yang lebih suka “go wild” di celah-celah batu. Bahagian ini, ramai yang masih setia kepada konsep panggilan alam hendaklah disempurnakan di alam semula jadi.
Pada hari pertama dan kedua, ramai pendaki keluar masuk melalui kem kami. Rasa macam pasar malam. Ada aktiviti main tali lungsur di jeram yang agak popular di kalangan pendaki muda, kebanyakannya budak-budak kolej.
Menurut Tok Sham, ada 40 tingkat jeram. Di tingkat ke-21, pemandangannya sangat lawa. Beberapa orang daripada kami mendaki ke situ. Aku tidak mendaki kerana lutut aku tidak kukuh untuk aktiviti begitu. Aku elak menyusahkan orang lain. Aku hanya bermain di kolam tingkat 1 hingga 3 sahaja. Dari foto yang dikongsikan oleh kawan-kawan, sungai ini turun membelah batu. Setiap 10 kaki akan membentuk kolam.
Jumlah ahli Bukit Hantu ialah 12 orang. Anak angkat kami — dua dari KL dan seorang dari Skudai. Kami bahagi-bahagikan kepada empat jabatan — makanan, minuman, khemah dan basuhan. Tok Sham pun jadi anak kami dan makan apa yang kami makan. Namun begitu kami anggap semua macam anak sendiri.
Malam pertama, semua kenduri BBQ hasil sumbangan daging ayam dan kambing. Selebihnya dimasak ikut komplot. Sesekali kami menziarah kelompok lain, menghantar dan mengecek makanan.
Bila beut sudah diisi, kami bersembang bertukar cerita sampai ngantuk. Beberapa orang daripada kami yang agak sosial angkat kerusi dan nongkrong dengan kelompok lain. Nongkrong dalam kumpulan kecil lebih intim, dan introvert dalam kalangan kami lebih selesa. Sesi curahan hati begini menambah kemesraan antara kami.
Antara yang paling rajin berziarah dari kumpulan ke kumpulan ialah Tok Sham dan Kaar. Kedua-dua insan ini adalah survivalists dan adventurers yang tegar. Betullah kata Ibnu Battuta, “Mengembara — ia membuat kau kehilangan kata, kemudian menjadikan kau seorang pencerita.”
Aku mahu buat sesi ta’aruf melibatkan semua orang, tetapi aku gagal merancang dengan baik kali ini. Terlajak waktu.
Bila embun mulai turun, mata makin mengantuk. Ada yang tidur dalam khemah peribadi dan ada yang tidur dalam khemah dapur. Aku? Aku pilih hammock kerana terdedah kepada angin nyaman dan selesa tidur tanpa badan tercucuk batu dan akar kayu.
Malam kedua, “pasar Jerangkang” agak lengang. Para pendaki yang bermain tali sudah pulang. Dapur Bukit Hantu menghidangkan ikan bilis goreng bersira kicap, gulai lemak labu dan ikan tamban kering.
Kami mandi malam selepas makan malam. Nikmat ketenangan alam semakin menyerlah. Zikir deruan jeram semakin kuat bunyinya. Lepas mandi, lapar semula. Tony jerangkan mi segera di atas batu di tengah sungai, berteman sambil ditunggu ahli lain. Air terjun seakan bersinar memantulkan cahaya purnama.
Pagi hari terakhir bermula dengan kemas mengemas. Bukit Hantu menyediakan roti kaya yang ringkas untuk sarapan. Kami angkut barang turun dari Kem 2 ke Kem 1. Kemudian kami bawa basikal pula. Sementara tunggu powil sampai, kami bergambar dan merakam konten.
Perjalanan pulang lebih mudah sebab pokok sudah kenal. Aku kayuh perlahan menikmati hutan. Aku macam enggan pulang. Terasa diri dan basikal hanya statik, tetapi denai di bawah tayar yang bergerak ke belakang, macam treadmill di gim.
Team Bukit Hantu membiarkan peloton lain melaju ke depan. Kami kayuh bermalas-malasan.
Masa perjalanan datang, aku terlepas simpang savana. Setibanya di kawasan rumput savana, Bukit Hantu singgah melayan aku bergambar.
Kemudian, kami teruskan perjalanan, melayan denai tanah dan mengelak lumpur setakat yang mampu.
Basikal Akak Kau tergelincir di lumpur, terlanggar akar kayu. Dia toleh ke belakang dan tanya, “Ada ambil foto?” Aku jawab, “Tak sempat.” Dia baring semula ke tanah buat ulang tayang jatuhannya. Aku sempat snap dua tiga foto.
Perjalanan diteruskan.
100 meter sebelum naik ke jalan tar, ada laluan ke sungai. Di situ, Bukit Hantu ambil peluang bersihkan basikal daripada lumpur agar tidak terlalu kotor bila disumbat dalam kereta.
Setelah bersih, kami sorong perlahan-lahan ke jalan tar. Ada juga yang angkat basikal agar tidak terkena lecak lagi.
Perjalanan seterusnya tidak perlu aku ceritakan. Berat hati mahu masuk semula ke tamadun moden. Tapi hidup perlu kelangsungan. Syabas kerana membaca sampai habis tanpa bonk.
Sekian, cerita yang panjang untuk perjalanan yang pendek.
Begitulah, bila kau terlalu gembira, masa seakan-akan terlalu singkat.