Khamis, Mei 29, 2008

GEZEK JE LEBIH

Engkau tahu tak? (Jangan jawab soalan ini. Ini soalan retorik.)

Matlamat gezek adalah menarik minat penonton untuk datang ke panggung dan membayar tiket.

Gezek yang baik menumpukan kepada tiga perkara utama.
Satu. Menyatakan narratif tayangan tanpa mendedahkan penyudah kepada cerita. Penonton akan datang untuk menikmati penceritaan dan penyudah kepada cerita.
Dua. Memaparkan wajah pemegang-pemegang peranan yang popular lagi glamer. Penonton yang meminati artis tertentu akan datang tanpa banyak soal.
Tiga. Menjelaskan genre (cintan/komedi/drama/aksi) cerita. Ini memudahkan pasangan yang bercinta memilih filem mana harus mereka tonton.

Untuk mencapai matlamatnya, gezek yang seminit memaparkan sedutan babak-babak menarik dari keseluruhan cerita 120 minit. Biasa kita dengar komen, gezek je lebih tetapi ceritanya mengecewakan. Biasalah. Masalah filem di Malaysia- gezek pun kurang, cerita sebenar apatah lagi.

Lagi. Engkau tahu tak? Blog hanya gezek kepada petualangan penulisnya.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Apa terjadi bila otak kiri dan kanan bertembung. Klik SINI.

Rabu, Mei 28, 2008

BUAT AYAT DARI 10 PERKATAAN

Blog hibudidik (edutainment) ini mahu mengajar kalian satu petua meningkatkan hits blog secara keji. Buat ayat dari 10 perkataan yang tersenarai seperti di bawah.

Jawatan kosong
Lebih ramai orang dapat kerja melalui kenalan berbanding dari iklan jawatan kosong di akhbar.

Resepi
Mak aku suka menyalin resepi dalam buku catatan dalam tulisan jawi.

Akademi Fantasia
Lufya dari akademi fantasia boleh memulihkan imejnya yang tercemar lewat insiden ketiak basah dengan cara menjadi model untuk produk deodoran.

Mat Rempit
Penunggang-penunggang basikal nyamuk adalah mat rempit masa hadapan.

Cuti-cuti Malaysia
Aku suka bawa minah aku cuti-cuti malaysia di pulau-pulau kecil kerana di sana tiada pusat membeli belah.

Kamus
Tag boleh diterjemahkan ke perkataan 'sep' tetapi perkataan itu tiada dalam kamus hijau.

Lagu
Apa pun lagu yang aku nyanyikan, orang akan ketawa.

Lirik
Hampir semua lirik lagu berkisah tentang cinta.

Portal Pendidikan
Portal pendidikan mestilah memberi petua kepada pelayar untuk mendidik diri sendiri.

Cerita
Masalah filem Malaysia bukanlah tentang cerita tetapi tentang penceritaan.

............
Menurut laporan Google yang dikeluarkan pada Januari 2008, perkataan-perkataan yang ditonjolkan di atas adalah perkataan Melayu yang sering digoogle pada 2007. Sekian.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Cerita Hindustan di sebalik perkataan Inggeris/Melayu
The Star-Popular Readers Choice Awards 2008.

Selasa, Mei 27, 2008

TAG: MESIN MASA

Sebenarnya aku bahagia berada pada usia ini. Aku hargai ketenteraman dan kebijaksanaan yang aku ada. Tersepuh dari pahit getir dan masam manis pengalaman yang ditepuh. Biar pun dimamah usia, masih ramai yang sayangkan aku. Malah ada yang gilakan aku. Ha! Ha! Ha!

Pun begitu, Cik Daun meletakkan syarat tidak mahu berkawan dengan aku kalau aku tidak layan tag The Age That I Wish To Go Back To. Rapuh betul setia kawan Cik Daun ni. Siap ada pra-syarat.

Layan! Buat penalaan mesin masa ke usia 12 tahun. Aku telah dilanggar sipi oleh sebuah keenderaan tentera berat 2 tan. Salah aku. Sebenarnya, secara teknikal, aku yang langgar sisi kederaan itu. Aku yang merempuh sisi keenderaan yang sedang bergerak itu.

Aku jeling Kherol dihujung mata. Dia leka di garisan. Aku pun berlari dan sep dia. Kena! Aku khayal main belon acah (Galah Panjang) sehingga aku berlari terlajak ke jalanraya tanpa melihat kiri dan kanan. Aku nak kata macam ayam tetapi setahu aku mata ayam memang sebelah kiri dan kanan kepala. Semua species burung begitu, kecuali burung hantu yang mata ke depan macam manusia.

Prakkk! Tayar kenderaan tentera langgar kaki aku. Bunyi sahaja lebih tapi tidak sakit. Sungguh. Aku tidak nangis pun. Aku jatuh. Aku cuba bangun tetapi aku rasa bumi tenggelam. Aku jatuh lagi. Aku raba jalanraya. Okay je. Tak ada rosak. Kherol dokong aku naik basikal dan boncengkan aku pulang.

Apa pun, kaki kiri aku patah. Dua bulan bersimen. Jika aku boleh kembali ke masa itu, aku akan mengelak kenderaan tentera itu. Dan team aku boleh sorak menang. Kalau kaki aku tidak patah, mungkin aku dah jadi wakil Malaysia dalam Olimpik musim panas. dalam sukan belon acah.


Lain-lain cerita:
Emila wish to go back to the age of 7 to live that precious moments again .
Rizal wish to go back to the age of 7 - 7 super wonders of my world .
Mangosteenskin wish to back to age 7 to chase back Macik Piut's geese and dogs. haha!
cikdaun wish to back to Age 12 - to stronger and Age 22 - to correct my path
Tok Rimau wish to go back to Age 12 - to avoid an accident

...........
Aku tag lima blogga ini:
:: Lan Rasso ::
:: Liyana ::
:: Radio::
:: Azie ::
::Nina Pop::

Instructions :Title: The Age That I Wish To Go Back To
Requirement: Write about the one age that you wish to go back to and why?
Tag Mode: 5 bloggers
1st - You leave their blog and post link and add to the list below.
2nd - Let the blogger you want to tag know they been tagged by comment in their blog or etc.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Bantu Amir senaraikan 50 Buku Malaysia Yang Kamu Mesti Baca

Isnin, Mei 26, 2008

GUA BOSAN MASUK TV

Gua masuk TV beb! Habis dah kuota 15 minutes of fame yang Andy Warhol bagi kat gua. Jones perli, "Muka lu tidak cukup hensem untuk masuk TV. Muka lu lebih layak untuk radio. Naga lagi hensem."

Cheh! Misai Magnum P.I. tu dah tak musim gua cakap lu. Lagi pun, apa guna hensem kalau tak masuk TV?!

Op kutuk gua gak, "Setakat masuk TV jadi tukang pegang payung buat apa?!" Scene gua enter frame menunjukkan gua pakai kopiah dan pegang payung purple. Media memang penipu beb. Gua dipotray sebijik cam bomoh hujan untuk produksi. Biar gua cerita sikit. Gua pakai kopiah sebab kehendak watak.

Gua berlakon sebagai extra sebagai pakcik kampung. Apa! Watak extra je? Memang la extra je, takkan la gua nak buat semua kerja jadi hero, jadi heroin. Gua dah jadi penulis skrip, tukang pegang clap board, pembantu pengarah dan pemayung kamera, agar kamera tak kena demam panas. Seniman serba boleh tu. Tapi extra pun, watak gua la yang steal the show. Gua cakap lu.

Apasal Soljah lain tak komen. Diorang sabotaj gua ke? Tak. Gua tak SMS diorang suruh tengok cenel Prima Astro. Diorang bukan ada Astro. Gua tak mau menyusahkan diorang pergi ke mamak semata-mata nak tengok muka rakan kombat masuk TV.

Sebenarnya Apa Cerita Nabil ada interview gua tapi bab gua bercakap tak masuk final cut, gua cakap lu. Malaysia belum ready untuk mulut ikhlas gua. Gua syak satu perkara yang menyebabkan gua kena gam:

Q: Apa nasihat tuan kepada Nabil?
A: Jangan ambik job yang tiada kenabilan dari penerbit filem lawak-lawak bodoh.

Sensitif tu, nanti Nabil tidak dapat job pulak.

Lepas ni gua nak low profile. Jangan pujuk gua masuk TV ke, masuk radio ke, masuk video ke. Gua dah merajuk.



SIARAN ULANGAN
Nabil berlakon dalam filem pendek Mengait Bintang terbitan UTM. Apa Cerita Nabil Episod 4: Part 1 dan Part 2. (Siaran tergendala kerana hujan atas kuali Astro)

Jumaat, Mei 23, 2008

KIPAS PENGAPIT



Masa Mimah di wad, aku tidak sempat melawatnya. Tentu dia kata aku tidak peduli. Mak Long kata Mimah merayu-rayu dengan doktor agar dibenarkan keluar dari hospital.

"Kakak saya kahwin. Kalau saya tidak ada, siapa nak teman kakak saya khatam Quran? Baca berzanji?" rayu Mimah.

Dah seminggu dia di wad. Demam denggi yang dihidapi semakin kebah tetapi belum pulih sepenuhnya. Apa pun, doktor tutup mata sebelah dan benarkan Mimah pulang jadi pengapit kakaknya

::

Di Selatan, menjadi tugas pengapit pengantin adalah untuk membayar tol ke atas sekatan-sekatan perjalanan menuju ke pelamin. Duit boleh menyelesaikan banyak perkara. Perkataan tol itu cuma euphemism kepada perkataan rasuah.

Adat zaman dulu lebih pelik. Ada orang cerita, pengapit lelaki kena ikut temankan pengantin lelaki di rumah mentuanya. Sebelum subuh, pengantin lelaki kena cabut lari keluar ikut tingkap dan pulang ke rumah sendiri. Tugas pengapit adalah membantu pengantin cabut lari. Dan tunggulah giliran kenduri kahwin di rumah pengantin lelaki pula.

Di rumah pengantin lelaki, tugas pengapit perempuan adalah temankan pengantin perempuan tidur di bilik pengantin selama tiga malam. Pengantin lelaki kena ikhtiar untuk tidur dengan isterinya. Di sinilah amalan rasuah diraikan lagi. Mengikut cerita, pengantin akan bagi duit kepada pengapit untuk main jauh-jauh. (Aku tahu ada alternatif lain selain rasuah tapi aku tidak mahu layan fantasi liar kalian. Ha! Ha! Ha!)

::

Masa Mimah di wad, aku tidak sempat melawatnya. Tentu dia kata aku tidak peduli. Aku kena tunjuk aku peduli.

"Mak Long, mana Mimah?"

"Tuuuu! Tengah nyanyi karaoke."

Di Selatan, kenduri kahwin tanpa karaoke macam tidak sah. Pakkal je aku tidak tahu nyanyi.


............

SELAMAT PENGANTIN BARU


Jangan lupa malam ini: Saluran Astro Prima. Jumaat. 10 malam. Apa Cerita Nabil. Kalau tidak keluar juga gambar aku, aku akan keluar dari UMNO. Let's Gone!*


*(Ungrammatical)
LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Buku berrak-rak. Rak buku.

Rabu, Mei 21, 2008

ITU BARU GEZEK

Ini bukan hujung minggu atau cuti am. Maka, bipedal primates dari species homosapien yang berbaris depan box office tidaklah panjang sangat.

"Sempat lagi ni. Baru pukul 3.10 (p.m.). Mesti dia main iklan dulu sebelum tayang filem," Syafiq cuba meyakinkan Mobius.

"Gua bukan nak tengok wayang je. Gua nak tengok gezek juga," Mobius menegaskan tertib kepertontonannya.

"Gezek tu apa?"

::

Orang-orang macam Syafiq tidak tahu perkataan 'gezek.' Ia sangat jarang digunakan dewasa ini. Kalau dia cuba cari dalam kamus tebal hijau pun tidak jumpa. Hairan.


Gezek (kata nama) : Tayangan promosi wayang yang akan datang ke pawagam. Biasanya, ia disunting dari sedutan-sedutan menarik filem dan dihiasi dengan muzik dan kesan bunyi khas. Gezek kini merupakan gabungan satu seni persembahan dan taktik pemasaran. (Definisi Ghazali Bunari).

Perkataan Bahasa Inggeris untuk gezek adalah trailer. Hollywood purba (Sejak 1919) mempromosi tayangan mendatang selepas tayangan filem. Dalam kata lain iklan itu mengekori (trail) tayangan, maka disebutlah sebagai trailer.

Bila amalan promosi wayang bertukar, ditunjukkan promosi sebelum tayangan bermula, tidak pula perkataan trailer itu bertukar kepada header. Masih lagi iklan promosi itu diterima pakai sebagai trailer. Kekallah ia sebagai trailer hingga sekarang.

::

"Julia habis kerja jam berapa?" tanya Mobius kepada gadis penjual tiket yang memakai tag nama Julia.

"Box office tutup jam 12.00," kata Julia yang memakai tag nama Julia.

"Jam 12 nanti, I tunggu you kat depan ni ya?"

Julia membalas dengan jelingan dan senyuman sahaja, sambil menggulung hujung rambutnya yang perang dengan jari telunjuk.

::

Sebaik sahaja mengutip tiket dan meninggalkan kaunter box office, Syafiq pun menegur, "Power ayat lu!"

"Itu baru gezek," sahut Mobius.

Selasa, Mei 20, 2008

MENONTON PENONTON

Aku hantar skrip filem ini awal tetapi tiada siapa yang peduli mahu menapisnya. Bukan kerja mereka. Sehari dua sebelum tayangan, mereka yang rapat dengan bos mula cuak. Bagaimana kalau cerita ini keterlaluan? Bagaimana kalau cerita ini menyindir bos? Bagaimana kalau cerita ini menyentuh isu sensitif? Siapa yang mesti pastikan bos tidak marah? Hah! Itu kerja mereka.

Sudah terlambat. Filem ini ditayangkan juga. Aku tidak peduli.

Salah satu nasihat Covey dalam bukunya The Seven Habits of Highly Effective People, Begin with the End In Mind. Ini buku teks wajib bagi pentadbir tetapi dari sudut amalannya, aku nampak falsafah mereka lebih kepada Begin with the Boss In Mind.

Apa yang bos kata adalah betul. Bos sentiasa betul. Letak tepi pengalaman, kajian, konsep dan creative brief yang dipersetujui awal dulu. Kalau bos kata tidak suka, tidak sukalah. Buat apa yang bos suka.

Aku duduk di tingkat dua menonton 800 pasang mata menonton filem pendek yang aku tulis. Sangat seru melihat reaksi penonton terhadap hasil kerja sendiri. Ada tempat ramai yang ketawa. Ada tempat sedikit yang ketawa. Di tempat yang aku fikirkan tidak ada jenaka pun, ada penonton ketawa. Ada tempat yang aku fikir lawak gila, tiada pula orang ketawa. Aku lihat lapisan-lapisan makna yang tersirat- ada yang dikutip dan ada yang tertinggal.

Kredit keluar. Perkataan akhir sekali adalah Tamat. Lampu dewan dinyalakan semula.

Bos? Bos tidak tunjuk tanda suka atau tanda benci. Mereka yang rapat dengan bos menarik nafas lega. Kira okay la tu. Aku? Aku biasa sahaja. Aku dah sedia seribu helah bela diri dalam saku.

Jumaat, Mei 16, 2008

TAYANGAN PERDANA



"Wong, orang itu mahu pergi tandas la. Bukan mahu amik hadiah," kata aku sambil menunjukkan ke arah kiri.

"Soli! Soli! Wa mana tau," jawab Wong sambil mengalih cahaya ke arah kiri seperti telunjuk aku.

15 Mei 2008. Skudaiville. Ini adalah gambar sekitar Tayangan Perdana filem MENGAIT BINTANG di Dewan Sultan Iskandar. Ha! Ha! Ha! Sebenarnya majlis lain ni, majlis penyampaian hadiah. Filem ini cuma selingan untuk mengurangkan kebosanan majlis yang maha skema tersebut.

Aku? Aku memberi sinaran kepada majlis itu. Mestilah. Aku penata cahaya. Ha Ha Ha! Sebenarnya kerja aku arahkan Wong nak suluh lampu ke mana. Itu je.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Foto MAJLIS CITRA KARISMA

Rabu, Mei 14, 2008

PROTOKOL

"Apakah tujuan protokol?" tanya Sham.

Kalau aku jadi Menteri Perdana, aku haramkan jawatankuasa Protokol dalam setiap majlis. Pastinya banyak penjimatan boleh berlaku. Tidak perlu kerusi berkerawang. Tidak perlu lauk berhidang. Tidak perlu penyambut tetamu. Tidak perlu bunga atas meja. Tidak perlu bunga manggar. Tidak perlu bunga atas dada. Tidak perlu kompang. Tidak perlu parking VVIP. Banyak lagilah yang tidak perlu jika protokol dibuang. Radikal sangat ke? Sebab itu aku bukan Menteri Perdana.

"Protokol membesarkan orang besar," jawab aku. "Dan mengecilkan orang kecil."

Selasa, Mei 13, 2008

JUMAAT 10 PM ASTRO PRIMA

"Begini cara buat lawak yang betul," kata gua.

Tonton liputan projek filem MENGAIT BINTANG di siri Apa Cerita Nabil, Astro Prima, Jumaat 10 p.m. Kepada sesiapa yang tidak punya Astro, gua tak salahkan lu kerana tidak mampu pasang Astro. Banyak sangat tengok TV pun tak baik juga. Lagho. Oleh itu, pergilah ke kedai mamak berdekatan. Kapal terbang lagi dirampas, inikan pula remote control Astro mamak.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
MENGAIT BINTANG: Photo Pekun dari Jurugambar Profesional.

Isnin, Mei 12, 2008

SEMUA LELAKI SAMA

Panjang pula khutbah nikah Tok Kadi. Aku tidak mahu kacau majlis, maka aku duduk sahaja di tangga sambil memerhatikan para perewang menyusun dulang lauk di bawah balai.

Selepas tujuh puntung rokok, baru Tok Kadi turun bersama keluarga tuan rumah. Mereka menuju ke arah hidangan yang disediakan. Aku memintas.

"Ada perkara yang saya nak cakap dengan tuan."

"Tunggulah ana makan dulu."

"Saya sudah lama tunggu."

"Ha! Ha! Ha! Kita bincang sambil makan. Tidak lari gunung dikejar. Ha! Ha!"

Tok Kadi buat kenyataan umum. Sepertinya semua lelaki sama. Semua lelaki, kalau diberi peluang mahu berpoligami. Tidak diberi peluang pun mahu juga. Tentang protokol, tanya kepada yang arif, tanya Tok Kadi.

"Bukan begitu."

"Habis?"

"Kereta Tok Kadi menghalang kereta saya. Saya nak keluar."

"Oh! Maafkan ana. Ana akan alihkan kereta."

Aku menutup kepala dengan tapak tangan. Tok Kadi tidak menutup kepala, sepertinya dia kalis air. Dia berserban, tidak perlu tutup kepala. Kami berlari meredah gerimis menuju ke arah jalan, tempat kereta bersusun padat.

Jumaat, Mei 09, 2008

JADILAH SEORANG LELAKI

Dia telefon aku dan mencabar, "Kalau engkau betul anak lelaki, jom kita jumpa!" Aku diam. Aku matikan panggilan. Tidak perlu melayan orang gila.

Menjadi lelaki sejati bukanlah semudah lahir dengan organ pembiakan terjulur. Lelaki yang betul-betul lelaki mestilah mempunyai 5 kemahiran berikut:-

1. Boleh mengelakkan pergaduhan dengan cara berdiam diri. Lelaki sebenar menganggap, tumbukannya amat mulia, justeru tidak semua musuh layak bertumbuk dengan dia.

2. Boleh membuat seorang wanita tidak berhenti tersenyum. Dan kadang-kadang ketawa. (Dan aku tahu membaca ayat ini sahaja, ramai yang sudah tersenyum.)

3. Boleh melipat baju-baju yang baru diangkat dari jemuran sebelum bahang mentari hilang hangatnya dari kain.

4. Boleh dengan nekadnya membakar jambatan antara dia dan perempuan yang menghinanya. Tidak kira secantik mana pun perempuan itu. Isi lebih penting dari kulit.

5. Boleh membaca dan suka blook Gangguan Teksual dan Soljah 3. Dan jika dia terlibat secara langsung sebagai penulis, markah bonus 1 hun lagi.

Pembaca yang dihormati sekalian, silalah kemaskini azam 2008 kalian dengan memasukkan kemahiran di atas sebagai perkara yang mesti dimahiri. Dan kepada para wanita, merajuklah sepuasnya jika lelaki anda tidak punya ciri-ciri di atas.

Kemudian, dia SMS aku bertalu-talu. Aku diam sahaja. SMS terakhirnya berbunyi,

"Baiklah. Hari ini hari engkau. Engkau menang. Tapi ingat, esok lusa akan adalah hari aku."

Sampai sekarang. Esok lusa yang dijanjikan tidak datang-datang.




LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Blogger Widget: Ketahuilah peminat nombor satu anda.

Sindiket Sol-Jah datang lagi! Dengan mainan percuma, Sabotaj 3!

Pergi ke BLOG SOLJAH untuk mainan PERCUMA!

....................

Kesinambungan dari blook Sabotaj 1 & 2 yang sold-out pada tahun 2006. Jika korang terlepas peluang untuk mendapatkan Sabotaj 1 & 2, sila rasa menyesal sekarang.

Sabotaj 3 berharga RM15 senaskah. Termasuk harga pos (Semenanjung Malaysia sahaja). Untuk penghantaran luar Semenanjung Malaysia, harga pos tambahan akan dikenakan.


PRA-TONTON

Usaha-usaha Sol-Jahs menelanjangi diri sendiri dalam Sabotaj 3;

"Aaaaaa..aku gay! Gay tak pandang perempuan. EeeeiiiuoooOOoOooo!" - Naga

"Sekarang, termasuk aku, lengkaplah 10 budak hitam dalam pejabat itu mengazet bukit-bukit bekalan zat dan lurah-lurah pembiakan sebagai kawasan hitam." - Tok Rimau

"Esok kita pergi beli spender baru ya!" - Op

"Seram sejuk aku. Horror. Pukul 4 pagi, apa budak ni buat tengah-tengah jalan besar?" - Amir Mukhriz

"Adakah kau fasis? Tanyanya sambil menanggalkan butang-butang bajunya" - Vovin

"Aku. Model pakaian gay." - Mat Jan

"Bodohnya perempuan ni. Tak nak balik hostel sebab nak tidur rumah jantan jalang tu." - Jigo

"Aku suspect kakak ini yang hantar SMS pagi tadik. Walaupun aku seorang lelaki yang handsome dan bekerjaya, tapi aku bukan gay." - Samurai

"Kaki panjang, body model figure.. heheh.. taste aku." - Spyz

"Gua mengamuk. Malam itu gua tak pergi mengaji." - Pipiyapong


3 LANGKAH YANG PERLU KORANG INGAT

Macam mana cara nak order blook yang sangat menerujakan & menggiurkan ini?


LANGKAH 1

Buat pembayaran secara atas talian (online) kepada kami.

Nama: FAIZUL B. MD ASPAN
Akaun: 1143 4806 1626 (Maybank)


Tarikh akhir membuat pembayaran adalah pada 18 Mei 2008, pukul 11.59 pm.


LANGKAH 2

Scan, print screen atau copy-paste resit pembayaran. Email-kan kepada kami sebagai bukti pembelian.

To: sindiketsoljah@gmail.com
Subject: Saya mahu blook SABOTAJ 3


Sila nyatakan juga butiran berikut;

i. Nama penuh (seperti di Kad Pengenalan)
ii. Nama samaran
iii. URL blog (jika ada)
iv. Nombor telefon
v. Jumlah buku yang ingin dipesan
vi. Alamat surat menyurat yang lengkap
vii. Tarikh pembayaran
viii. Jumlah pembayaran


Kami akan email status pesanan korang selepas verifikasi tentang maklumat pembayaran dilakukan.

Segala maklumat yang diberikan tidak akan didedahkan kepada umum. Kecuali atas perintah mahkamah.


LANGKAH 3

Periksa peti surat korang.

Kami menggunakan Sistem Pesanan Berpusat untuk pengedaran buku Sabotaj 3. Oleh itu, penghantaran buku hanya akan dibuat selepas kami berjaya mengumpulkan semua pesanan.

Dijangkakan, buku korang akan sampai dalam masa 3 hari selepas tarikh tutup pembayaran. Itupun kalau posmen tak sesat atau tak bikin mogok mintak naik gaji.


Mengikut rekod terdahulu, ramai orang yang terlepas peluang memiliki buku-buku terbitan kami kerana terlewat membuat pesanan. Jangan biarkan perasaan menyesal menghantui diri. Tempah blook Sabotaj 3 sekarang!

Untuk sebarang pertanyaan, sila email kepada kami.

Sekian, terima kasih.


Ps: Blook = Buku Blog (http://en.wikipedia.org/wiki/Blook).


--

http://sol-jah.blogspot.com

Khamis, Mei 08, 2008

USAHA UNTUK KURUS

Wad 13. Katil 13. Rima berbaring dengan kaki kanan berplaster. Tergantung 1/2 meter tinggi.

Ajan: Macam mana boleh berlaku?

Rima: I tengah jogging. Tiba-tiba je mat rempit tu meluru langgar I.

Ajan: Buta agaknya mat rempit. Sebesar-besar orang pun tak nampak.

Suasana sarat dengan sunyi yang berdentum. Ajan tersengih.

Ajan: Sori. I tak bermaksud...

Rima: Jahat.

Kaki Rima bertambah sakit. Hatinya lagi la sakit.

Rabu, Mei 07, 2008

EMAK ENGKAU!

Aku tahu kenapa engkau tidak sambut Hari Kekasih. Engkau jelaskan bahawa ia berasal dari keraian Kristian terhadap St. Valentine. Kau tidak mahu ikut orang kafir.

Untuk infotainmen engkau, Hari Ibu juga berasal dari festival orang kafir. Greek Kuno meraikan Cybele, ibu kepada dewa-dewa dan Roman Kuno pula meraikan dewa Juno, mak kepada Juventas, Mars dan Vulcan (Bukan kelab bola sepak, jenama cokelat atau sejenis motorsikal).

Nah! Kenapa engkau sambut Hari Ibu?


PUISI SEBARIS
Maaf, aku bukan pemaaf.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Webby Award 2008 Results.

Selasa, Mei 06, 2008

SIDANG VIDEO

Dari Blog Jonni:
Gua baru lepas mengawan dengan Lassie. Gua pun lepak di depan pagar jiran sebelah. Melepaskan lelah. Penat wooo. Sakit pinggang. Kemudian, gua terhidu jiran gua keluar. Sah, dia. 80% bau peluh. 10% bau nasi goreng. 10% bau nikotin. Dia dail henpon. Dia cakap sikit-sikit lepas tu dia point henpon tu kat gua. Kaget gua!

Gua jerit kuat-kuat, "Sial! Celaka! Lahabau! Lu nak rakam gua apahal pulak?!" Kawan-kawan gua pun join sama jerit. Bersahut-sahut. Dia lari masuk rumah semula.

Dari Blog Tok Rimau:
Liputan 3G cuma sampai luar pagar rumah aku sahaja. Dalam rumah tiada 3G. Isyarat biasa maxis pun dalam 1-2 bar sahaja.

Untuk mendapat laporan secara Video Call tentang acara Maskara dari Spyz, aku pun keluar dari pagar. 12 tengah malam tu. Atas skrin, aku nampak muka Spyz dan di belakangnya ada Cik Sal dan Cik Daun melambai-lambai. Jerit nama aku, "I love Tok Rimau." (Fitnah ni aku tambah biar sedap sikit cerita)

Bayu malam berpuput lembut mendinginkan. Aku rasa kesunyian, sedangkan kawan-kawan aku bersuka ria makan roti canai di Rumah Pena.

Untuk membuktikan, aku tidak keseorangan, aku pun menyuakan telefon ke arah anjing Jiran aku, Jonni. Spyz, aku ditemani oleh Jonni di luar pagar ini.

Jonni yang biasanya buat tidak peduli dengan aku jadi kaget. Dia menyalak-nyalak. Anjing-anjing dari pagar rumah Cina lain pun ikut menyalakkan aku. Bingit gila.

Aku terus lari masuk rumah, liputan 3G terputus. Video call pun terputus. Aku kira mereka masih berfoya-foya mabuk roti canai di Maskara.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Audio lagi Isyu oleh Ebiet G. Ade.
Lirik lagu Isyu oleh Ebiet G. Ade.

PUISI SEBARIS
Cerita aku ditangkap khalwat adalah fitnah untuk memburukkan imej aku. :-(

Jumaat, Mei 02, 2008

API DALAM DADA

Ringgggggggggggggggg! Tiba-tiba suasana jadi sangat bingit. Aku pun telefon bahagian keselamatan.

"Bahagian keselamatan. Boleh saya bantu?"

"Penggera kecemasan berbunyi depan pejabat saya."

"Nanti jam 2.30 petang saya hantar orang."

"Kenapa tidak sekarang? Kalau ada api betul bagaimana?"

"Sekarang pukul 1.00. Waktu makan. Semua orang pergi makan pada waktu makan."

"Mmm. Okay la kalau begitu. Saya pun nak pergi makan. Bye."

"Bye."

Aku pun letak telefon.

..................
PUISI SEBARIS
Bara dalam dada ini perlu minyak. Bukan air.

...............
LAWATAN SAMBIL BELAJAR
1. Nabil mempromosi Blook Sol-jah
2. Behance: Creative portfolio and projects.

69 Hujan dan Lumpur

Main MTB ni seronok tapi kena berani kotor kerana lumpur dan tahi lembu. Lebih-lebih lagi jika kau main di musim hujan. Masa aku main di kaw...